• Jonathan Shiek

Yoga Boleh Membantu Bina Kekuatan Ketika Pandemik

Perdana Menteri India Narendra Modi dalam ucapannya sempena Hari Yoga Antarabangsa edisi ketujuh yang disambut semalam (21 Jun) berkata yoga telah menjadi sumber kekuatan dalaman dalam kalangan masyarakat ketika penularan pandemik COVID-19 dan menyuntik keyakinan bahawa mereka dapat melawan virus tersebut.

“Yoga tidak hanya memfokuskan pada kesihatan fizikal tetapi juga kesihatan mental. Semasa COVID, beberapa kajian dilakukan, meneliti manfaat yoga pada imuniti dan tubuh badan kita,” kata Modi, yang juga pengamal tegar yoga.

Sependapat dengan apa yang dikatakan Modi, jurulatih Yoga Malaysia SK Durai berkata virus COVID-19 menjejaskan paru-paru, latihan pernafasan dapat menguatkan paru-paru, selain meningkatkan fungsi organ pernafasan.

“Beberapa latihan pernafasan dapat membantu menghindari paru-paru mudah dijangkiti penyakit.

“Dalam konteks amalan yoga, prinsipnya adalah bersederhana. Haba memusnahkan penyakit, sejuk mengundang penyakit. Pergerakan adalah kesihatan, tidak bergerak mengundang penyakit.

“Oleh itu, melalui pelbagai latihan pernafasan, ia akan memanaskan paru-paru dan mungkin membantu melawan COVID-19,” kata Durai yang juga Pengarah Sekolah Sakthi Yoga kepada Bernama melalui WhatsApp.

Mengulas lanjut, pengamal yoga berusia 36 tahun itu berkata, COVID-19 adalah penyakit pernafasan terutama menyerang paru-paru menyebabkan sukar bernafas dan mengganggu keupayaan tubuh.

Beliau juga mengesyorkan semua lapisan masyarakat mengamalkan yoga pada masa yang sukar ini kerana ia membantu menyegarkan organ dalaman dan merangsang fikiran dan menurutnya prinsip yoga turut dapat mendidik seorang anak-anak untuk bersikap baik, berdisiplin, bersederhana dan jujur.

— BERNAMA

0 views0 comments