• Jonathan Shiek

Warga Emas Maut Ketika Mendaki Bukit Soga

Seorang warga emas meninggal dunia semasa mendaki bersama-sama isteri dan anaknya di Bukit Soga dekat sini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, mangsa, Gan Tian Guan, 62, isteri, 54, dan anak perempuannya yang berusia 19 tahun dari Taman Putera di sini mendaki bukit tersebut pada jam 4 petang.

“Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat kemudian menerima maklumat menyatakan mangsa tidak sedar diri semasa mendaki di Bukit Soga.

“Dimaklumkan setiba mereka di puncak ketinggian 286 meter, mangsa mengadu pening kepala dan terjatuh lalu tidak sedar diri,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Katanya, anak mangsa kemudian turun ke bawah dan meminta bantuan orang ramai sebelum menghubungi pihak hospital, polis dan bomba.

Jelasnya, mangsa disahkan meninggal dunia oleh kakitangan Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) di sini yang hadir di lokasi berkenaan.

Menurutnya, mayat mangsa diturunkan dengan bantuan pihak bomba dan dihantar ke HSNI untuk bedah siasat.

Sumber: Astro AWANI

0 views0 comments