• Jonathan Shiek

Tahap Kesihatan Mental Membimbangkan Sejurus PKP Kembali – Pakar Psikiatri

Tahap kesihatan mental di negara ini semakin membimbangkan semenjak pandemik COVID-19 bermula.

Pakar psikiatri Dr Amer Siddiq Amer Nordin berkata, kehilangan kerja dan masalah kewangan dilihat faktor utama yang memerlukan perhatian khusus kerajaan.

“Moratorium itu penting bukan sahaja untuk pastikan orang ramai tidak mengalami masalah kewangan tetapi juga untuk menjaga kesihatan mental mereka.

“Dalam tempoh setahun ini kita lihat peningkatan mendadak kes berkaitan kesihatan mental dan bunuh diri. Kes yang dirujuk ke hospital banyak, Talian Kasih juga banyak dapat panggilan.

“Jadi tak boleh pandang remeh hal ini,” katanya dalam sebuah temu bual.

Menerusi Astro AWANI, Dr Amer menyatakan situasi ketika ini membuatkan beberapa agensi mengambil tindakan lebih proaktif, antaranya pengaktifan semula talian 15999 selain peranan yang dimainkan oleh agensi bukan kerajaan (NGO).

Lebih setahun berdepan dengan situasi ini, beliau juga meminta orang ramai agar sentiasa peka dengan keadaan orang di sekeliling mereka yang mungkin memerlukan bantuan.

“Kita boleh lihat masalah perceraian dan keganasan rumah tangga juga semakin meningkat apabila PKP berjalan.

“Apa yang penting sekarang, orang ramai perlu ada kesedaran yang kehidupan kita berbeza walaupun mungkin berhadapan situasi PKP yang sama.

“Kena sedar yang ada orang di sekeliling kita yang alami masalah, jadi semua perlu mainkan peranan, buat laporan jika perlu supaya bantuan boleh diberikan.

“Mereka yang mengalami masalah juga jangan berdiam diri kerana kita ada banyak agensi yang boleh membantu,” ujarnya.

1 view0 comments