• Jonathan Shiek

Syarikat Penerbangan Jepun Tawar Pakej Perkahwinan Dalam Kapal Terbang

Syarikat penerbangan All Nippon Airways (ANA) menawarkan majlis perkahwinan eksklusif di dalam kapal terbangnya sebagai alternatif kepada pasangan yang mahu berkahwin semasa musim pandemik COVID-19.

Menerusi pakej perkahwinan unik itu, ANA menyediakan persembahan muzik, pengumuman selamat pengantin baharu oleh kru kabin dan pencahayaan khas yang memaparkan latar belakang galaksi pada dinding kapal terbang.

ANA menawarkan pakej perkahwinan dalam kapal terbang mereka dengan bayaran sekitar 1.5 juta yen (RM58,759) , manakala majlis resepsi berasingan di bangunan terminal pula boleh ditempah pada harga tiga juta yen (RM113,174).

Menurut kenyataan syarikat, idea mengadakan majlis perkahwinan di dalam kapal terbang adalah untuk menarik minat pasangan yang mahu mendirikan rumah tangga tanpa membabitkan tetamu yang ramai.

Mei dan Jun adalah dua bulan yang biasanya menjadi pilihan kegemaran pasangan di Jepun untuk berkahwin.

Bagi pakej perkahwinan yang ditawarkan oleh ANA, hanya 30 orang boleh menghadiri majlis tersebut.

Pada 23 Mei lalu, perkahwinan pertama di dalam kapal terbang ANA diadakan di kabin kelas perniagaan untuk pasangan pengantin dari Tokyo, Toru dan Mami Murakami.

Sumber: Kyodo News

0 views0 comments