• Syaziyah Md Sharif

Sukarelawan Universiti Sunway Anjurkan ‘Shoebox Christmas’ Untuk Mereka Yang Memerlukan

Ia merupakan sebuah acara amal tahunan sejak 2015



Shoebox Christmas dianjurkan untuk kali pertama pada tahun 2015 oleh Sunway Student Volunteers (SSV) dengan inspirasi untuk membawa kegembiraan melalui sumbangan dan pemberian hadiah kepada kanak-kanak dan keluarga yang kurang berkemampuan.


Penerima bantuan terdiri daripada latar belakang yang berbeza seperti orang asli, keluarga B40 yang tinggal di Program Perumahan Rakyat (PPR) dan anak-anak yatim. Bertepatan dengan semangat Hari Krismas, ahli jawatankuasa SSV mengumpul kotak kasut lama dan mengumpul dana untuk membeli hadiah bagi kanak-kanak. Kotak kasut yang biasanya dibuang akan digunakan semula kerana SSV ingin mempromosikan kelestarian alam melalui projek ini.


Pada tahun ini, pandemik Covid-19 sudah pasti memberi kesan kepada kita semua terutamanya golongan yang kurang berkemampuan. Sekali lagi, jawatankuasa SSV telah berganding bahu untuk menganjurkan Shoebox Christmas 2021 dan menyasarkan untuk mengumpul RM14,000 untuk menyediakan hadiah dan pakej barangan runcit untuk kanak-kanak dan keluarga mereka.


Untuk tahun ini, badan bukan kerajaan yang menerima bantuan termasuk Stepping Stones Living Centre, Sanggar Suri, Persatuan Membantu Orang Kelainan Upaya Malaysia, Myanmar Muslim Refugees Community dan ramai lagi, malah projek ini menyasarkan untuk memberikan sumbangan kepada kira-kira 700 kanak-kanak dan 100 keluarga.

Sunway Student Volunteers ingin menyeru sokongan semua orang untuk bersama-sama berkongsi kegembiraan Hari Krismas dengan mereka yang paling memerlukannya. Marilah kita sama-sama menghulurkan tangan kita kepada golongan yang kurang berkemampuan sepanjang musim perayaan ini! Sokonglah kami melalui sumbangan anda hari ini dan lawati laman Facebook serta Instagram Sunway Student Volunteers untuk mengetahui maklumat lanjut.


9 views0 comments