• Jonathan Shiek

Solat Berjemaah Di Masjid Dan Surau Dibolehkan Kepada Mereka Yang Lengkap Divaksin

Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi siaran media semalam berkata kerajaan membenarkan aktiviti solat di masjid dan surau bagi jemaah yang telah menerima vaksinasi lengkap di seluruh negara membabitkan keempat-empat Fasa Plan Pemulihan Negara.

Kebenaran merentas daerah dan negeri bagi pasangan suami isteri jarak jauh antara kemudahan yang diberikan kerajaan kepada individu yang lengkap menerima dua dos suntikan vaksinasi Covid-19 berkuat kuasa esok.

Perdana Menteri berkata, pergerakan merentas daerah dan negeri juga dibenarkan bagi golongan ibu bapa yang lengkap divaksin untuk berjumpa anak di bawah umur 18 tahun.

Beliau berkata, selain kemudahan perjalanan, kemudahan kuarantin juga diberikan kepada individu yang lengkap divaksin dengan membolehkan mereka menjalani kuarantin wajib di rumah dan diberikan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) digital.

Menurutnya, kemudahan­ kua­rantin itu melibatkan pengembara warganegara dan warga ­asing yang mempunyai kediaman di negara ini termasuk penduduk tetap dan pemegang pas Malaysia MY Second Home yang pulang atau tiba dari luar negara.

Berhubung kebenaran sektor sosial bagi negeri Fasa 2 PPN, ujarnya, rakyat di negeri tersebut dibenarkan melakukan perjalanan rentas daerah dan menjalani aktiviti makan di restoran.

Sebagai rekod, negeri dalam Fasa 2 ketika ini ialah Kelantan, Terengganu, Perak, Pahang, Pulau Pinang dan Sabah, manakala Sarawak, Perlis dan Labuan di Fasa 3.

Sumber: Kosmo!

0 views0 comments