• Syaziyah Md Sharif

Skuad Harimau Malaya Tumpas Di Tangan Indonesia

Kekalahan sebanyak 4-1 itu merupakan perlawanan Piala AFF Suzuki 2020 di Singapura

Kredit Foto: Twitter @FAM_Malaysia

Pasukan bola sepak kebangsaan, Harimau Malaya ditundukkan 4-1 oleh musuh tradisi, Indonesia pada aksi terakhir Kumpulan B saingan Piala AFF Suzuki 2020 di Stadium Nasional Singapura semalam.


Pada aksi tersebut, skuad negara yang dikendalikan oleh Tan Cheng Hoe membariskan kesebelasan terbaik, permainan itu bermula dengan baik apabila skuad negara berjaya mendahului seawal minit ke-13 apabila Kogileswaran menjaringkan gol menerusi ledakan di luar kotak penalti.


Momentum cemerlang negara diteruskan tetapi percubaan satu lawan satu yang dimiliki Syafiq sedikit tersasar ketika penjaga gol Indonesia sudah pun ditewaskan dan ia membuka ruang buat Indonesia untuk bangkit hasil gerakan cantik yang berjaya disudahkan oleh pemain sayap, Irfan Jaya pada minit ke-36.


Pasukan Indonesia kemudiannya terus mengganas apabila Irfan menjaringkan gol kedua berselang enam minit seterusnya memberi kelebihan 2-1 ketika separuh masa pertama berakhir.


Nasib terus menyebelahi skuad kendalian Shin Tae-yong pada aksi kedua apabila giliran pemain pertahanan, Pratama Arhan hasil ledakan di luar kotak penalti pada minit ke-50.


Penjaga gol negara, Khairul Fahmi Che Mat tertewas buat kali keempat apabila pemain pertahanan kacukan Indonesia, Elkan Baggott menanduk masuk gol hasil sepakan penjuru yang diambil oleh Evan Dimas pada minit ke-82.


Usaha skuad negara untuk menambah gol tidak berjaya dengan keputusan 4-1 kekal sehingga tamat perlawanan.





Sumber: Kosmo!

7 views0 comments