• Syaziyah Md Sharif

Seorang Wanita Lesap RM 37,300 Selepas Terjerat Dengan 'Love Scam'

Wanita tersebut bertemu dengan 'scammer' tersebut melalui laman sosial LinkedIn




Seorang wanita berasal dari Bandar Seri Jempol, Negeri Sembilan kerugian RM37,330 selepas menjadi mangsa penipuan Love Scam.


Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, mangsa berusia 37 tahun yang bekerja sebagai ejen broker sebelum itu berkenalan dengan seorang lelaki dikenali Ali Rahman di LinkedIn pada 13 Februari lalu.


Beliau berkata, selepas itu mangsa kerap berhubung dengan suspek menerusi aplikasi WhatsApp dan berkongsi pengalaman hidup serta isu berkaitan kejuruteraan.


"Pada 14 April lalu, suspek memberitahu mangsa mengenai bayaran baki akhir kerja kontrak dari sebuah syarikat dari Turki berjumlah AS$850,000 (RM4.13 juta) dan meletakkan nama mangsa sebagai penerima manfaat dan bayaran akan dibuat melalui sebuah syarikat dari United Kingdom.


"Suspek mengarahkan mangsa menghubungi ejen syarikat di negara berkenaan bagi menuntut baki bayaran kontrak dan selepas itu mangsa dihubungi ejen syarikat terbabit.


"Mangsa diminta membuat sejumlah pembayaran antaranya bayaran insuran, duti setem Bank Negara Malaysia dan sebagainya," katanya dalam satu kenyataan.


Hoo berkata, sepanjang urusan mangsa melakukan lapan transaksi pembayaran ke dalam enam akaun berbeza berjumlah RM37,330.


Beliau berkata, mangsa datang ke Balai Polis Bahau bagi membuat semakan disebabkan masih diminta membuat pembayaran tuntutan berkenaan dan seterusnya membuat laporan polis selepas disyaki ditipu dan kes masih dalam siasatan.






Sumber: Harian Metro

10 views0 comments