• Syaziyah Md Sharif

Seorang Lelaki Maut Akibat Terjatuh Dari 'Ferris Wheel'

Tragedi itu berlaku berdekatan Aeon Cheras Selatan, Balakong


Kredit Foto: Twitter @__nhmz

Seorang lelaki berusia 39 tahun maut manakala seorang lagi cedera selepas terjatuh dari roda Ferris (Ferris Wheel) di sebuah 'fun fair' berhampiran pusat beli-belah Aeon Jusco Cheras Selatan di Balakong semalam.


Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang Supt Mohamad Nasir Drahman berkata seorang pekerja di 'fun fair' tersebut memaklumkan tragedi itu kepada polis kira-kira jam 12.05 pagi hari ini.


Beliau berkata, saksi memberitahu polis bahawa kedua-dua lelaki itu menaiki 'Ferris wheel' ketika kejadian itu berlaku.


Mohamad Nasir berkata anggota paramedik yang tiba di tempat kejadian mengesahkan seorang daripada mereka meninggal dunia manakala seorang lagi lelaki berusia 30-an dan cedera dibawa ke Hospital Kajang untuk rawatan.


“Punca kemalangan sedang disiasat untuk memastikan sama ada berlaku kecuaian di pihak pengendali mesin berkenaan atau mangsa. Siasatan awal tidak menunjukkan sebarang perbuatan keji,” katanya.


Mohamad Nasir berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.


Beliau menggesa orang ramai supaya tidak membuat spekulasi berhubung kes itu kerana polis sedang menjalankan siasatan menyeluruh.


Mereka yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu boleh menghubungi pegawai penyiasat Sarjan Mohd Emran Mohd Noor di talian 013-7638512 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang.





Sumber: The Sun Daily

11 views0 comments