• Syaziyah Md Sharif

"Semburan 'Nano Mist' Tidak Sesuai Untuk Disinfeksi" - Tan Sri Dr. Noor Hisham

Ianya juga tidak sesuai digunakan secara langsung kepada manusia

Kementerian Kesihatan (KKM) menegaskan bahawa penggunaan alat semburan nano mist bagi tujuan disinfeksi tidak menggantikan keperluan nyahkuman permukaan secara manual.


Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, nano mist spray mula mendapat perhatian umum untuk digunakan sebagai alat disinfeksi bagi mengekang penularan Covid-19 sejak kebelakangan ini.


Menurut beliau, ia kerana ramai beranggapan bahawa penggunaan alat tersebut berupaya menghapuskan virus di udara dan juga di permukaan.


“Bagaimanapun, keberkesanan penggunaan nano mist spray untuk disinfeksi bergantung kepada keupayaan alat tersebut untuk menghasilkan semburan yang sekata pada permukaan, jenis dan kepekatan larutan disinfeksi digunakan serta tempoh masa pendedahan,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.


Noor Hisham berkata, secara umumnya pada masa ini, beberapa larutan disinfeksi sedia ada seperti larutan yang mengandungi alkohol 70 hingga 90 peratus, hydrogen peroxide, thymol, quarternary ammonia dan juga larutan berasaskan klorin berkesan bagi membunuh virus SARS-CoV-2 di permukaan.


“Senarai larutan disinfeksi yang berkesan untuk SARS-CoV-2 boleh diperolehi di laman sesawang US Environmental Protection Agency yang menjadi rujukan seluruh dunia,” katanya.


Beliau berkata, larutan disinfeksi yang dinyatakan tersebut adalah bertujuan untuk nyahkuman di permukaan persekitaran dan tidak sesuai digunakan secara langsung ke atas manusia.


Ia juga boleh menyebabkan iritasi pada mata, kulit, pernafasan dan pencernaan, tambahnya lagi.





Sumber: Kosmo!

16 views0 comments