• Jonathan Shiek

Selepas Selangor, Perak Pula Bakal Berhadapan Dengan Jerebu

Perak bakal menghadapi jerebu yang teruk jika pembakaran terbuka terus berlaku.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Azmi Osman berkata, dalam tempoh dua bulan pertama ini, sebanyak 534 kebakaran terbuka telah direkodkan membabitkan 436 kes kebakaran belukar manakala selebihnya kebakaran di hutan dan sampah.

Menurutnya, jumlah kes dengan purata 10 laporan kebakaran diterima setiap hari itu membimbangkan terutama ketika negara dilanda cuaca panas dan kering.

“Kebanyakan kes kebakaran ini berlaku di kawasan kebun dan hutan berpunca daripada aktiviti manusia sama ada untuk tujuan pertanian atau penerokaan.

“Melihat kepada trend ini ditambah dengan keadaan cuaca agak kering, kita menjangkakan kes kebakaran terbuka terus meningkat sehingga Jun nanti yang mana boleh menyumbang kepada berlakunya jerebu,” katanya ketika ditemui di Pejabat JBPM Perak di sini pada Selasa.

Berdasarkan data Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) setakat jam 8 pagi Rabu, lima bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Perak adalah sederhana iaitu Taiping (70), Tasek Ipoh (72), Pegoh Ipoh (73), Seri Manjung (67) dan Tanjung Malim (53).

Mengulas lanjut, Azmi berkata, antara kes kritikal yang diterima setakat ini ialah kebakaran Hutan Simpanan Kekal Gunung Bubu di Kuala Kangsar yang memusnahkan kawasan seluas dua hektar dan mengambil masa tiga hari operasi pemadaman.

Satu lagi katanya, kebakaran hutan di Kampung Sindu, Jalan Cameron Highlands – Simpang Pulai melibatkan kawasan seluas 16 hektar.

“Pemadaman di kawasan itu telah berjaya dilakukan, malangnya tidak sampai dua hari kebakaran baru berlaku di lokasi berhampiran yang disebabkan aktiviti manusia,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya telah menggerakkan kerjasama bersama Jabatan Perhutanan dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam usaha menangani isu pembakaran terbuka di negeri ini.

Menurutnya, di bawah bidang kuasa jabatan berkenaan, tindakan penguatkuasaan undang-undang boleh diambil terhadap individu dan pihak yang terlibat.

“Kolaboratif ini perlu supaya masyarakat sedar akan tindakan yang dikenakan ke atas mereka sekiranya dengan sengaja melakukan kebakaran terbuka dan ini juga cara kita tangani faktor-faktor yang boleh menyebabkan jerebu,” katanya.

#PembakaranTerbuka #Perak

0 views0 comments