• Syaziyah Md Sharif

'Prebet Sapu' Bakal Menjadi Wakil Malaysia Ke Oscar

Jangan lupa menontonnya di pawagam 16 Disember ini ok?

Kredit Foto: Instagram @prebetsapufilm

Filem berjudul Prebet Sapu arahan pengarah Muzzamer Rahman mencipta sejarah tersendiri apabila terpilih mewakili Malaysia bagi kategori Filem Cereka Antarabangsa Terbaik (Best International Feature Film) di Anugerah Akademi (Oscars) ke-94 yang dijangka berlangsung pada 27 Mac 2022 di Los Angeles, Amerika Syarikat.


Filem ini mengisahkan seroang pemuda yang mencari makan di bandar Kuala Lumpur sebagai seorang pemandu 'prebet'.

Pemilihan filem terbitan syarikat produksi Le Mediator Studio, Kristal Azmir Sdn. Bhd. dan Konda Kondi Studio itu dibuat oleh Jawatankuasa Pemilihan Filem Finas yang terdiri daripada penggiat industri filem tempatan bertaraf profesional dan berpengalaman melalui proses penilaian terperinci.


Merujuk kenyataan media yang dikeluarkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), penilaian kriteria perfileman yang dinilai adalah seperti pengarahan, penceritaan, sinematografi, lakon layar, lakonan, adunan bunyi, skor muzik, penataan seni dan suntingan filem.


Pengarahnya, Muzzamer berkata, dia sudah mengkaji calon filem dari negara lain untuk kategori tersebut dan berharap Prebet Sapu berupaya memikat hati juri nanti.


“Saya sangat gembira dapat mewakili Malaysia walapun cuma pencalonan awal. Lebih-lebih lagi apabila filem ini dihasilkan oleh barisan kru tempatan dengan bajet rendah.


“Kalau berjaya disenarai pendek nanti, saya anggap itu tuah sebagai pengarah baharu. Jika termakbul pasti kejayaan itu suatu kebanggan besar buat semua,” ujarnya.


Filem Prebet Sapu yang bakal ditayangkan di Malaysia pada 16 Disember ini, diterajui Amerul Affendi dan Mei Fen Lim. Filem ini turut menampilkan Bront Palarae, Sharifah Amani, Nam Ron, Nadiya Nisaa, Chew Kin Wah, Jay Iswazir, Anas Ridzuan, Roslan Madun dan ramai lagi.


Apa yang menarik, filem ini dibuat dalam konsep hitam putih dan pernah mewakili Malaysia ke pelbagai festival filem antarabangsa termasuk Udine Far East Film Festival, Itali; Jogja-Netpac Asian Film Festival (JAFF) Indonesia; Toronto Reel Asian Film Festival, Kanada; Asian Film Festival Barcelona; Sepanyol dan Innovative International Film Festival di India.



Sumber: Berita Harian

9 views0 comments