• Jonathan Shiek

Pemain Bola Sepak Wanita Malaysia, Berlin Leong Tempa Nama Di Sepanyol

Selepas Celine Chuang menempa nama di Jerman sejak Julai lepas, kini seorang lagi pemain bola sepak remaja wanita negara, Berlin Leong mula mengukir nama di pentas antarabangsa dengan mewakili sebuah kelab Sepanyol, sejak November lepas.

Menurut sumber Malaysiakini, Berlin atau nama sebenarnya Leong Xin Yang, 19, membawa nama Malaysia di pentas bola sepak dunia apabila beraksi untuk skuad wanita kedua C. F. Pozuelo di Sepanyol.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menerusi Facebook hari ini, memaklumkan Berlin memulakan langkah di bumi Sepanyol selepas diberi peluang pertama beraksi bersama pasukan belia C. F. Pozuelo (C. F. Pozuelo Juvenil A) pada Ogos 2019.



BERLIN LEONG BARISI SKUAD KEDUA WANITA C. F. POZUELO Seorang lagi pemain remaja wanita kebangsaan, Berlin Leong,… Posted by Football Association of Malaysia on Saturday, March 6, 2021

Sementara itu, Berlin menyifatkan peluang beraksi untuk kelab baharu tersebut sebagai satu pengalaman yang sangat berharga, selain menyatakan latihan di sana berbeza daripada apa yang pernah beliau jalani di tanah air sebelum ini.

“Latihan di sini sedikit berbeza kerana ia meliputi aspek taktikal serta fizikal dalam satu sesi. Saya tidak berdepan masalah untuk menyesuaikan diri kerana telah menganggap jurulatih serta rakan pasukan sebagai keluarga di sini,” jelas Berlin.

Walaupun terpaksa pulang ke Malaysia pada Mac 2020 gara-gara pandemik Covid-19, ia bukanlah penghalang baginya meningkatkan prestasi dan dedikasi sehinggalah diberi peluang membarisi skuad wanita senior kedua C. F. Pozuelo sekembalinya ke Sepanyol pada November 2020.

Selain itu, beliau juga mengimpikan untuk beraksi bersama skuad senior wanita C. F. Pozuelo selain mahu terus memberikan sumbangan kepada skuad wanita kebangsaan dalam pertandingan antarabangsa kelak.

“Ini satu penghormatan besar buat diri saya namun saya percaya bahawa terdapat banyak lagi yang perlu saya pelajari dan perbaiki.

“Sempena Hari Wanita Sedunia pada 8 Mac ini, harapan saya adalah untuk melihat sukan bola sepak wanita negara boleh mencapai tahap tertinggi serta bersaing bersama pasukan-pasukan gergasi,” katanya.

Sumber: Bernama & MalaysiaKini

1 view0 comments