• Syaziyah Md Sharif

Peguam Rancang Pembunuhan Dirinya Sendiri Tetapi 'Terkantoi'

Dia berkomplot dengan seorang lelaki untuk 'membunuhnya', agar dapat insurans nyawa sebanyak USD 10 Juta

Kredit Gambar: Harian Metro

Seorang peguam terkenal Amerika Syarikat (AS) yang kematian isteri dan anak lelakinya akibat dibunuh Jun lalu, berkomplot untuk mengarahkan seorang lelaki supaya membunuhnya.


Rancangan itu dibuat bagi membolehkan seorang lagi anak lelakinya mendapat tuntutan insurans nyawa AS$10 juta (kira-kira RM41 juta), kata pihak berkuasa.


Alex Murdaugh bagaimanapun terselamat dalam insiden tembakan di kawasan pedalaman Hampton di Carolina Selatan pada 4 September dan pada Selasa lepas, Curtis Edward Smith, 61, ditahan kerana mempunyai kaitan dengan kejadian itu, menurut Divisyen Penguatkuasaan Undang-Undang Carolina Selatan (SLED).


Dokumen didedahkan agensi berkenaan menjelaskan, Murdaugh terbabit dalam mengarahkan Smith untuk menembaknya agar dia boleh mendapat pampasan insuran nyawa diberi oleh syarikat insurans, lapor NBC.


Peguam itu didapati memberikan Smith pistol sebelum mengarahkan lelaki itu menembaknya.


Bagaimanapun, Murdaugh belum didakwa atas apa-apa kesalahan jenayah dan peguamnya, Richard Harpootlian enggan mengulas lanjut.


Keluarga Murdaugh mempunyai sejarah panjang dalam bidang guaman dan menjadi antara pendakwa raya terkenal sejak berdekad lamanya, malah media tempatan melaporkan pada 2019 keluarga itu berjaya 'menyumbat' ribuan orang dalam penjara selain ramai lagi yang dijatuhi hukuman mati.



Sumber: Harian Metro

17 views0 comments