• Syaziyah Md Sharif

Pak Nil Lancarkan 'Kedai Percuma' Untuk Mangsa Banjir

Semoga rezeki Pak Nil sentiasa murah!

Kredit Foto: Instagram @aznilnawawihm, Utusan Digital

Pengacara dan pelakon popular tanah air Aznil Haji Nawawi menyediakan kedai percuma khusus buat mangsa banjir yang terkesan teruk akibat bencana tersebut.


Menerusi media sosial Instagramnya, Aznil Haji Nawawi atau mesra disapa Pak Nil itu menjalankan kerja mengumpul golongan sukarelawan bagi membantu masyarakat di Bukit Changgang, Banting, Selangor dan di ketika itu tercetus pula idea untuk mewujudkan Kedai Percuma Pak Nil bermula 30 Disember lalu.


Menerusi laman Kosmo! Pak Nil memberitahu, “Ketika itu saya tinjau dan amati, kesemua mereka terpaksa mengumpul barang semula dan membaik pulih rumah mereka. Bahkan barang keperluan asas mereka tiada langsung. Daripada situ saya fikir kenapa tidak diwujudkan kedai percuma berkenaan.”


Selain itu, Pak Nil juga turut mendapat bantuan daripada jenama-jenama tempatan yang pernah bekerjasama dengannya seperti Eskayvie dan Nakada.


“Pihak jenama itu bermurah hati untuk menghantar barang keperluan asas seperti minyak, telur, air mineral, sardin, selimut, bantal, lampin bayi dan sebagainya.


“Timbul idea juga untuk mengumpul belian barang asas ini menerusi duit sumbangan orang ramai. Saya beli sendiri barangan itu menggunakan duit sumbangan diberikan dan kemudiannya diletakkan di sebuah kedai di kawasan berkenaan yang diberi nama Kedai Percuma Paknil,” katanya.


Dalam Instagramnya, Pak Nil juga menyatakan orang ramai juga turut boleh memberikan sumbangan melalui akaun miliknya.


“Kedai ini mengalu-alukan barangan keperluan yang boleh dihantar terus ke sana atau menyalurkan duit sumbangan ke akaun saya.


“Jadi saya boleh terus tambah barangan keperluan itu. Bagi yang mahu menyumbang boleh ke akaun Instagram @/aznilnawawi atau menerusi akaun Maybank di 564735801178.


“Kedai ini akan berterusan beroperasi jika terus menerima sumbangan orang ramai atau pertubuhan kerajaan mahupun swasta,” katanya.





Sumber: Instagram, Kosmo!

9 views0 comments