• Syaziyah Md Sharif

Nyanyian 'Live' Nabila Razali Dipuji, Semakin Banyak Perubahan!

Dia mengakui banyak ke kelas vokal untuk memantapkan nyanyian

Nabila Razali bukanlah nama asing dalam industri seni di Mlaysia, baru-baru ini dia meluahkan rasa syukur apabila persembahannya dalam program MeleTOP yang bersiaran secara langsung di Astro Ria semalam mendapat maklum balas positif.


Menerusi Harian metro, Nabila berkata, dia terkejut apabila nyanyiannya untuk single terbarunya yang berjudul Putus mendapat pujian daripada orang ramai yang rata-rata melihat perubahan pada persembahannya itu.



"Kalau dulu saya banyak terima komen negatif daripada positif, tapi sekarang lebih banyak komen positif pula yang diberikan.


"Mungkin orang luar nampak perubahan ketara dalam nyanyian, kerana saya memang tidak henti perbaiki kualiti nyanyian dan kerja. Saya selalu pegang dengan prinsip 'tak mati dek keji, tak hidup dek puji'. Saya buat semua ini bukan untuk orang lain, tapi diri sendiri.


"Sejujurnya sejak kejadian nyanyian terkucil itu, saya memang tidak berterusan pergi kelas vokal. Saya juga sanggup berhabis wang untuk bayar guru vokal supaya dapat menjadi lebih baik.


"Sebagai manusia kita pasti ada banyak kekurangan. Alhamdulillah, persembahan saya malam tadi dapat memperlihatkan perbezaan kepada penonton sekali gus berjaya meresapkan apa yang diajar oleh guru vokal selama ini," katanya.


Sebelum ini, persembahan nyanyian Nabila menerusi lagu Peluang Kedua 'terkucil' sewaktu menjayakan program Meletop Mega Raya Ria dan serta-merta dia menjadi perbualan warganet. Rata-rata netizen mempertikaikan kemampuan nyanyiannya.


Lebih mengejutkan lagi, persembahan Nabila di pentas Anugerah Juara Lagu ke-35 (AJL35) pada Mac lalu sekali lagi dikritik apabila dia berterusan 'terkucil lagi' ketika menyanyi secara langsung.


Menurut Nabila, dia mengakui sukar untuk mengatasi masalah gugup ketika membuat persembahan pentas, namun dia tetap mencuba sedaya upaya mengawal kekurangan yang dimiliki itu.



Sumber: Harian Metro



3 views0 comments