• Jonathan Shiek

Niat Merompak Tidak Kesampaian, Nota Ugutan Tidak Difahami Kerana Tulisan Terlalu ‘Buruk&#8217

Seorang perompak di Britain terpaksa pulang dengan tangan kosong selepas percubaan untuk merompak sebuah bank menemui kegagalan disebabkan tulisan tangannya tidak difahami.

Alan Slattery yang berusia 67 tahun cuba merompak sebuah bank di Eastbourne, England, namun gagal kerana pegawai bank tidak memahami tulisannya yang mengandungi ancaman.

Menurut polis, pegawai bank tersebut tidak memahami tulisan Slattery yang meminta sejumlah wang tunai diserahkan kepadanya.

Dalam satu hantaran di Twitter, polis memuat naik nota yang ditulis suspek ketika rompakan dilakukan.

“Skrin anda tidak akan menghentikan apa yang saya boleh lakukan. Serahkan wang tunai sebanyak £10 (RM59) dan £20 (RM118). Fikirkan tentang pelanggan lain,” tulis Slattery pada nota tersebut.

Seterusnya, pada bulan sama, suspek melakukan rompakan lain dan membawa lari wang tunai berjumlah £2,400 (RM14,103) di kawasan tempat tinggalnya.

Ini diikuti dengan satu lagi rompakan lain pada April lalu, namun dia gagal mendapatkan wang.

Polis kemudiannya berjaya mengesan lelaki itu berpandukan sistem televisyen litar tertutup pihak bank dan memberkas suspek di rumahnya.

Dia kemudiannya mengaku bersalah terhadap satu dakwaan rompakan serta dua dakwaan cubaan merompak pada Julai lalu dan menjalani hukuman penjara enam tahun.

Sumber: HuffPost

0 views0 comments