• Jonathan Shiek

Nenek Yang Mempunyai 29 Cucu Ditahan Kerana Miliki Dadah

Seorang nenek yang mempunyai seramai 29 cucu ditahan di rumahnya di Taman Seri Bayu, Melaka pada malam Sabtu kerana memiliki dadah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri, Superintendan Zulkiflee Rashid berkata, dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam, warga emas berusia 64 tahun itu ditahan bersama anak perempuan, menantu serta dua lagi rakan sindiketnya kerana dipercayai memiliki dadah dan mercun dalam tiga serbuan berasingan.

Beliau berkata, pemeriksaan polis menjumpai satu paket plastik berisi daun kering disyaki ganja dan dua papan timah mengandungi tiga biji pil eramin 5 di rumah wanita terbabit.

Tambahnya, anak perempuannya berusia 25 tahun dan menantu berusia 23 tahun yang bekerja sebagai pembantu kedai makan juga ditahan, selain dua rakan lelaki mereka berusia 21 dan 27 tahun.

“Serbuan ke rumah wanita mempunyai 13 orang anak dan 29 cucu itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota dari JSJN Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah.

“Ujian saringan air kencing bagaimanapun mendapati kelima-lima mereka negatif dadah. Kes disiasat mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 kerana memiliki dadah,” katanya ketika dihubungi di sini pada Isnin.

0 views0 comments