• Jonathan Shiek

Mengamuk Bola Golf Dicuri, Lelaki Ini Tembak Anjing Hingga Mati!

Seorang lelaki ditahan selepas menembak mati seekor anjing hanya kerana haiwan berkenaan dikatakan mencuri bola golf miliknya.

Kejadian berlaku di Resort Wyndham Grand Rio Mar, Puerto Rico pada Sabtu lepas dan menurut polis, Salil A Zaveri, 60, menembak anjing berkenaan beberapa kali menggunakan pistol 9 mm pada jam 6 petang di resort berkenaan, memetik laporan ABC News.

Dia yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Zaveri Consulting itu telah dibebaskan dengan jaminan AS$60,000 dengan syarat pasport dan lesen memandu diserahkan kepada polis.

Foto penahanan lelaki tersebut dikongsi oleh Pesuruhjaya Biro Perundingan Polis Puerto Rico, Coronel Antonio Lopez Figueroa di akaun Twitter miliknya pada Ahad serta memuji tindakan pegawainya dalam menahan lelaki berkenaan.

“Atas tindakan pantas anggota polis saya, hari ini kami berjaya membawa penjenayah ini ke muka pengadilan,” katanya dalam catatan tersebut.

Sementara itu Naib Presiden Resort Wyndham Grand Rio Mar, Dave Dececco memberitahu portal berita Newsweek, mereka akan memberi kerjasama penuh kepada polis susulan insiden berkenaan.

“Kami sangat terkesan dengan insiden yang berlaku di premis kami dan akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa semasa siasatan dijalankan.

“Pada masa ini kami tidak dapat memberi sebarang komen mengenai insiden itu,” kata Dececco seperti dipetik Newsweek.

0 views0 comments