Syaziyah Md Sharif
Korban COVID-19 Seluruh Dunia Mencecah Seramai 5.5 Juta
Amerika Syarikat mencatatkan rekod kematian tertinggi

Wabak Covid-19 membunuh sekurang-kurangnya 5,503,347 orang sejak pandemik muncul di China pada Disember 2019, demikian menurut angka agensi berita AFP.
Amerika Syarikat mencatatkan kematian tertinggi Covid-19 sebanyak 842,322 kematian diikuti Brazil dengan 620,238 kematian, India (484,655) dan Rusia (318,432).
Sementara itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran bahawa varian Covid-19 Omicron adalah berbahaya terutamanya kepada mereka yang belum divaksinasi.
WHO berkata, peningkatan mendadak kes Covid-19 di seluruh dunia adalah berpunca daripada Omicron. Varian itu didapati lebih mudah berjangkit daripada varian Delta yang dominan sebelum ini.
Agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu itu melaporkan lebih 15 juta kes Covid-19 pada minggu lalu dengan jutaan jangkitan lagi dipercayai tidak direkodkan.
Bagaimanapun, WHO meminta kerajaan-kerajaan di seluruh dunia tidak menyerah kalah kepada Omicron.
Sumber: AFP