• Jonathan Shiek

Khemah Kolaborasi Antara Gucci Dan The North Face Dijual Dengan Harga RM 15K!

Jenama fesyen mewah popular, Gucci mengeluarkan koleksi khemah pada harga £2,560 (RM14,561) beserta beg tidur berharga £865 (RM4,920) khas buat para peminat fesyen yang gemar berkhemah, lapor akhbar The Sun semalam.

Dihasilkan dengan kerjasama jenama pakaian aktif, The North Face, rekaan itu merupakan sebahagian daripada koleksi peralatan aktiviti luar terbaharu untuk lelaki dan wanita.

Menurut jenama dari Itali itu, khemah nilon tersebut adalah sebahagian daripada koleksi The North Face x Gucci, sebuah kolaborasi yang menghubungkan dua jenama dengan sejarah dan nilai yang sama dalam meraikan semangat penerokaan.

“The North Face mempunyai sejarah yang terbukti dalam memperkasakan inovasi serta memecah tradisi dalam mereka gaya dengan perincian rekaan yang unik dan berbeza.

“Sebagai sebuah jenama yang mengetengahkan dorongan buat golongan wanita untuk mencapai hasil dalam usaha yang dimonopoli oleh lelaki, misi dalam rekaannya adalah untuk membantu pengembara dalam pencarian diri mereka,” ujarnya.

Koleksi pelbagai kategori itu adalah uniseks yang turut terdiri daripada pakaian sedia dipakai, aksesori asas, bagasi dan kasut.

Ia turut didatangkan dengan kelengkapan berkhemah seperti tali, tongkat mendaki dan beg.

0 views0 comments