• Syaziyah Md Sharif

Kerana ‘Love Scam’ Pesara Tertipu RM 87,000!

Updated: Oct 4, 2021

Kejadian malang ini berlaku kepada seorang pesara wanita di Kuantan apabila beliau ditipu RM 87,000 oleh seorang lelaki yang dikatakan berasal dari Amerika Syarikat.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata mangsa berusia berusia 60 tahun berkenalan dengan suspek pada Oktober lalu, di laman sosial Facebook.

“Suspek memaklumkan akan berada di Malaysia selama tiga tahun kerana mempunyai projek dengan syarikat minyak di Terengganu.

“Tidak lama kemudian suspek memaklumkan dikuarantin di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan mahu meminjam wang daripada mangsa untuk menanggung kos perbelanjaan lapan orang pekerjanya,” katanya dalam satu kenyataan media.

Tertuduh juga menyatakan dia akan membayar semula wang wanita itu seketika dia telah habis dikuarantin.

“Pada 30 November sehingga 18 Disember lalu, mangsa memasukkan wang ke dalam tiga akaun berbeza berjumlah RM87,400 melalui sembilan transaksi.

“Selepas memasukkan wang, suspek masih meminta memasukkan wang lagi sebanyak RM13,000, namun wanita itu enggan. Mangsa rasa tertipu dan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan,” katanya.

Menurutnya lagi, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntuk hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Sumber: Kosmo

0 views0 comments