• Syaziyah Md Sharif

Kerajaan Bakal Hentikan Jualan Rokok Kepada Mereka Yang Lahir Selepas Tahun 2005

Ia juga termasuk bahan berasaskan tembakau lain

Malaysia berhasrat untuk menguatkuasakan larangan jualan rokok dan semua jenis produk tembakau terhadap mereka yang lahir selepas 2005.


Hasrat itu disuarakan oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin ketika menghadiri mesyuarat Lembaga Eksekutif Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Sesi Ke-150 di Geneva, Switzerland malam tadi.


Beliau berkata, larangan itu adalah bagi menangani impak negatif tembakau terhadap penyakit-penyakit tidak berjangkit (NCD) dan berharap dapat meluluskan undang-undang tersebut tahun ini.


“Jika berjaya, undang-undang ini akan dapat menghentikan generasi merokok (a generation end game to smoking) dengan melarang penjualan tembakau dan produk rokok lain kepada sesiapa yang dilahirkan selepas 2005.


“Malaysia merasakan ini akan memberi impak yang besar dalam mencegah dan mengawal NCD,” katanya.


Beliau berkata demikian bagi menyokong Hala Tuju Pelaksanaan WHO, menerusi penyelarasan Pelan Strategik Kebangsaan NCD dan Kertas Putih Mengenai Penjagaan Kesihatan Masa Depan.


Katanya lagi, dalam mencegah dan mengawal NCD, Malaysia memerlukan pendekatan menyeluruh di peringkat nasional dan subnasional dengan kerjasama pelbagai pihak yang melibatkan kerajaan, masyarakat sivil, sektor swasta dan masyarakat setempat.





Sumber: Utusan

19 views0 comments