• Syaziyah Md Sharif

Kenali 'Kefir', Kucing Bersaiz Besar Yang Sering Disangka Sebagai Anjing

Wah, inilah yang dikatakan 'gentle giant'!

Kredit Foto: Instagram @yuliyamnn

Bagi pencinta kucing, baka maine coon bukanlah sesuatu yang jarang didengar. Baka tersebut sangat sinonim dengan badan yang besar tetapi sangat manja, kucing berbaka maine coon juga sering diberi jolokan 'gentle giant'.


Yulia Minina merupakan salah seorang pemilik kucing berbaka itu. Kucingnya, yang dinamakan Kefir sempena minuman bersusu, mempunyai saiz seakan harimau kumbang dewasa daripada kucing domestik biasa.


Yulia dan Kefir menetap di bandar kecil Stary Oskol di Rusia, kucing gergasi itu dibeli oleh Yulia dua tahun lalu dan kini dia mengatakan bahawa kebanyakan orang berfikir bahawa kucing putih gergasinya sebenarnya adalah seekor anjing.


"Dia bukan sahaja membesar dari segi rupa, malah sangat bijak dan sentiasa bersikap tenang.


"Pada umumnya Kefir mempunyai penampilan yang menggerunkan, tetapi ia kucing yang sangat penyayang dan sederhana," katanya dalam Daily Star.


Katanya, apabila rakan dan kenalan datang ke rumah, semua perhatian tertumpu kepada kucing itu yang gemar dibelai.


"Dia mempunyai satu lagi tabiat pada waktu malam iaitu suka memanjat saya dan tidur.


"Ketika dia masih anak kucing tiada masalah, tetapi kini apabila ia berat dan besar sudah tentu sukar untuk tidur seperti itu," katanya.


Menurutnya, Kefir kini berusia setahun 10 bulan dengan berat 12.5 kilogram.


"Dia masih dianggap anak kucing. Maine Coon biasanya membesar tiga hingga empat tahun. Jadi, saya rasa ia mungkin akan menjadi lebih besar nanti," katanya.




Sumber: Daily Star

6 views0 comments