• Jonathan Shiek

Kedai Makan Ini Tidak Menerima Wang, Sebaliknya Hanya Inginkan Sampah Kitar Semula

Sebuah kedai makan di Kota Semarang, Jawa Tengah mempunyai sistem barter unik apabila hanya menerima sampah plastik kitar semula sebagai bayaran kepada makanannya.

Warung Mbah Min mengamalkan konsep itu sebagai salah satu cara untuk membantu pelanggannya yang kebanyakan terdiri daripada pengutip sampah mendapatkan makanan.

Menurut pemiliknya, Sarimin, 54, setiap pelanggan perlu membawa sekurang-kurang 20 kilogram (kg) sampah plastik kerana harga sepinggan hidangan berharga sekitar 6,000 hingga 8,000 rupiah (RM1.73 hingga RM2.31).

Sekiranya terdapat perbezaan nilai wang, ia secara automatik dianggap sebagai simpanan pembeli yang boleh digunakan untuk makanan berikutnya.

Senarai nama pembeli akan direkodkan dan dijadikan ahli sekiranya pelanggan berhasrat untuk kembali di masa akan datang.

Sarimin mengatakan bahawa konsep menukar sampah dengan makanan terjadi kerana pengutip sampah yang menjamu selera di gerainya sering berhutang kerana kekurangan wang.

“Dari situ saya terfikir, mereka sering berhutang kerana sampah yang dikumpulkan belum cukup menghasilkan wang,” jelasnya.

Menurut Sarimin, sistem pembayaran ini menggunakan sampah plastik mempunyai kelebihan tersendiri kerana dia boleh menjualnya dengan harga yang lebih mahal daripada yang dibeli.

Bagi setiap sekilogram plastik yang dibelinya seharga 400 rupiah (12 sen), dia dapat menjualnya kepada pengumpul sampah dengan harga 500 rupiah (14 sen).

Dari perniagaannya, dalam satu hari dia dapat memperoleh 200kg plastik dan akan menunggu sehingga ia mencecah dua tan sebelum sampah di gerainya diangkut dan dikirim ke pusat kitar semula.

Sumber: Suara.Com

0 views0 comments