• Jonathan Shiek

Kanak-Kanak Jadi Mangsa Keadaan, Maut Termakan Sate Beracun

Polis Indonesia mengenal pasti dan menahan seorang wanita yang mengirim sate beracun kepada bekas teman lelaki dengan niat untuk membunuhnya.

Dalam kejadian di Bantul, Yogyakarta pada 25 April lalu, wanita itu mengirimkan sate melalui seorang penghantar makanan dikenali sebagai Bandiman, tetapi makanan itu tidak sampai kepada lelaki itu kerana isterinya enggan menerima makanan daripada pengirim yang tidak dikenali.

Sebaliknya, isteri lelaki itu menyerahkan kembali sate berkenaan kepada Bandiman dan menyuruhnya membawa pulang sebagai juadah untuk berbuka puasa.

Malangnya, anak Bandiman yang termakan sate dicampur dengan potasium sianida itu, lalu dia muntah dan pengsan sebelum dibawa ke hospital, namun disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian.

Susulan kejadian itu, polis menjalankan siasatan dan berjaya mengenal pasti identiti pengirim makanan berkenaan iaitu wanita berusia 25 tahun dan menahannya Jumaat lalu.

Direktur Siasatan Jenayah Umum, Polis Bantul, Yogyakarta, Jawa Barat, Burkan Rudi Satria dipetik media tempatan, berkata hasil siasatan mendapati kejadian itu bermotifkan dendam kerana bekas teman lelakinya berkawin dengan wanita lain.

“Suspek membeli sate ayam dan menaburkan racun itu sebelum meminta Bandiman yang sedang berehat di Jalan Gayam, Yogyakarta, untuk menghantarkan juadah itu ke rumah bekas teman lelakinya di Bantul di Yogyakarta,” katanya.

Suspek tidak menggunakan aplikasi dalam talian dan tidak memberikan identitinya yang sebenar dan kini berhadapan hukuman mati jika sabit kesalahan.

0 views0 comments