• Jonathan Shiek

JAIK Serbu ‘Port’ Ponteng Puasa, Jumpa Air Ketum!

Sejumlah bungkusan air ketum ditemukan dalam tong dalam pemeriksaan di sebuah pondok berhampiran gerai makan yang dipercayai menjadi port kaki ponteng puasa di Kuala Kedah.

Dalam pemeriksaan pada jam 12 tengah hari, anggota penguat kuasa Jabatan Agam Islam Kedah (JAIK) menemui air ketum yang siap dibungkus dalam dua tong dipercayai masih baru.

Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasa JAIK, Syeikh Radzi Abdul Mutalib berkata, pihaknya percaya kawasan itu adalah tempat menjual air ketum dan pihak polis sudah dimaklumkan untuk tindakan.

“Ketika anggota penguat kuasa melalui kawasan gerai itu, terdapat beberapa kenderaan diparkir, namun mereka sempat beredar.

“Tiada tangkapan dilakukan dan kita serahkan penemuan bungkusan air ketum kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, dalam pemeriksaan berasingan di Jalan Langgar, di sini, seorang peniaga wanita memberi alasan terpaksa menjual makanan pada waktu pagi kerana menerima banyak tempahan pelanggan.

Wanita berusia 40 tahun yang hamil sembilan bulan anak ketujuh itu memberitahu anggota penguat kuasa bahawa dia terpaksa memasak nasi dan lauk sebelum menjemput anaknya dari sekolah.

“Ia cuma alasan untuk melepaskan diri, kerana ketika serbuan dilakukan beberapa lelaki sempat melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa.

“Hasil pemeriksaan menemui beberapa bungkusan nasi di atas meja selain pelbagai jenis lauk yang siap dimasak, dan maklumat mendapati kawasan itu menjadi port kaki ponteng puasa,” katanya.

Sumber: Harian Metro

0 views0 comments