• Jonathan Shiek

Ibu & 12 Anak Terpaksa Tutup Spa, Jual Jamu Untuk Sara Hidup

Perniagaan terpaksa ditutup akibat pandemik COVID-19 bukan suatu penghalang bagi pemilik spa ini, untuk menceburi bidang perniagaan lain demi kelangsungan hidup bersama 12 anaknya.

Rabtahwati Ramli berkata kepada Astro Awani, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memberi impak kepada perniagaan apabila perlu menutup tiga buah spa miliknya di Pulau Pinang dan di KL.



“Saya terpaksa tutup spa pada awal tahun lalu secara berperingkat kerana PKP. Selain itu, tiada pelanggan yang datang kerana bimbang dengan penularan pandemik COVID-19.

“Operasi spa terpaksa ditutup sepenuhnya pada April lalu dan sehingga kini masih tidak boleh dibuka kerana keadaan COVID-19 belum pulih sepenuhnya,” katanya.

Bagaimanapun, Rabtahwati bernasib baik apabila dia mewarisi kemahiran memproses jamu daripada neneknya yang merupakan seorang bidan. Katanya, sejak perniagaan spa tidak lagi menjamin pulangan yang memberangsangkan, dia mula aktif menjual produk herba.

“Produk saya ini semuanya berasaskan herba antaranya jamu, set peralatan bersalin dan banyak lagi. Sebelum ini, saya ada jual produk ini juga. Saya usaha sendiri sejak dua tahun lalu dengan semua ramuan adalah daripada saya sendiri. “Saya bersyukur kerana sambutan produk herba ini sangat memberangsangkan,” katanya.

Menurutnya, bagi membantu golongan wanita yang terjejas atau kehilangan pendapatan akibat pandemik ini, dia merancang untuk menjalankan program mentor mentee khas untuk golongan berkenaan. Tambahnya, ilmu serta kelengkapan spa akan dibekalkan kepada peserta dan ia diadakan secara percuma.

0 views0 comments