• Jonathan Shiek

Guru Ini Guna TikTok dan YouTube Untuk Tarik Minat Pelajar

Adanya platform video seperti TikTok dan YouTube, ramai guru-guru yang sudah mula mencipta kandungan agar sesi Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR) lebih menarik.

Pelajar juga merasa mudah bosan apabila mengikuti sesi pembelajaran PdPR menerusi aplikasi seperti Telegram Google Meet dan Zoom Meeting yang memerlukan pelajar hanya duduk, mendengar dan bertanya soalan sekali-sekala.

Seorang guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tuanku Lailatul Shahreen, Kangar, Perlis, Norlida Muhd Pisol, 37, memilih menggunakan TikTok sebagai salah satu daripada medium untuk mengajar mata pelajaran Sejarah bermula minggu lepas.

“Ramai dalam kalangan pelajar saya gemar menggunakan aplikasi TikTok dan dari situ saya mendapat idea untuk menggunakan aplikasi ini sebagai antara medium untuk mengajar, pendek kata, kita perlu didik golongan remaja dengan cara yang mereka suka,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Norlida yang telah 15 tahun menjadi pendidik berkata, kaedah pembelajaran itu bukan hanya mudah, tetapi menyeronokkan malahan pelajar turut teruja memberikan cadangan pemilihan lagu untuk menjadikan sesi PdPR itu lebih menarik.

Maklum balas yang diterima daripada pelajar juga menyatakan bahawa aplikasi itu lebih memudahkan digunakan kerana mereka tidak perlu data (had internet) yang besar berbanding aplikasi media sosial lain.

Bagi tujuan itu juga Norlida sanggup membelanjakan kira-kira RM2,000 duit poket sendiri bagi membeli alat peranti, peralatan studio dan menghias tiga studio mini di rumahnya agar pelajar tidak jemu apabila menonton video TikToknya.

“Saya buat semua ini hanya dengan satu niat iaitu agar pelajar tidak ketinggalan dalam pelajaran kerana bagi saya mata pelajaran Sejarah perlu dipelajari setiap hari… sehari sahaja tidak belajar, mereka boleh lupa,” katanya.

Paling membanggakan apabila akaun TikToknya Cikguida@ZINSygSakura turut dimuat turun, disimpan dan dikongsi bukan hanya oleh pelajar sendiri, tetapi oleh beberapa pelajar dari sekolah lain yang berminat dengan cara pembelajaran itu.




Sumber: BERNAMA

#cikgu #tiktok

1 view0 comments