• Jonathan Shiek

Empat Hotel Di Kuala Lumpur Dijadikan Pusat Kuarantin COVID-19

Empat Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah Swasta (PKRCS) percuma disediakan kepada warga Wilayah Persekutuan yang berdepan kesukaran menjalani kuarantin kendiri di rumah.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, keputusan itu dicapai pada mesyuarat Pusat Penyelasaran dan Pengurusan Covid-19 Wilayah Persekutuan (CCMC-WP).

Beliau berkata, CCMC-WP memutuskan untuk memindahkan dan menempatkan sebilangan mereka yang positif bagi kategori 1 dan 2 ke beberapa hotel yang dikhususkan sebagai PKRCS khas mulai 26 Julai.

“Empat buah PKRCS khas di Kuala Lumpur yang terlibat adalah Hotel Royal Chulan, Jalan Conlay; International Youth Center, Bandar Tun Razak, Cheras; Tamu Hotel Kampong Bharu dan Hotel Travelodge City Centre,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.

Katanya, operasi memindahkan kira-kira 1,000 orang pesakit Covid-19 bermula hari ini dibantu Covid Assessment Centre (CAC), KWP, Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKWPKL) dan beberapa agensi serta jabatan kerajaan berkaitan.

Menurut Annuar, pihaknya sedang berusaha menyediakan lebih banyak kemudahan pusat rawatan Covid-19 di Wilayah Persekutuan bagi membantu golongan menghadapi masalah kuarantin kendiri.

Menurutnya, tindakan itu dapat membantu golongan tidak berkemampuan untuk mengelakkan peningkatan kes positif yang berpunca daripada kontak rapat dalam kalangan ahli keluarga.

Sumber: Kosmo!

1 view0 comments