• Jonathan Shiek

Dulu Vokalis Sejati, Yazid Alias Kini Ambil Upah Sebagai Pengutip Sampah

“Bila Bunga Dipetik Orang” dan “Kerana Menyintaimu” nyanyian vokalis kumpulan Sejati, Yazid Alias, pernah menjadi siulan anak muda sekitar tahun 1990-an. Kini, pasca pandemik Covid-19, penyanyi itu mengambil upah mengangkut sampah demi meneruskan hidup.

Yazid, 55, berkata  beliau tidak lagi mendapat undangan membuat persembahan daripada mana-mana pihak. Beliau memilih untuk beralih kerjaya dengan menjadi pengangkut sampah untuk menyara kehidupan keluarganya.

“Setiap hari, bermula jam 9 pagi, saya akan membonceng motosikal yang diubahsuai menjadi motosikal roda tiga untuk mengambil upah mengutip sampah di sekitar Kampung Balun dan Rancangan Perumahan Tersusun (RPT) Kampung Balun.

“Setiap rumah akan memberi upah RM10 sebulan dan ada juga yang bermurah hati memberi lebih selepas melihat kesungguhan kerja yang saya buat ini,” katanya.

Katanya, walaupun pernah popular sebagai artis dan dikenali ramai, beliau tidak malu dengan pekerjaan yang dilakukan sekarang.

“Walaupun pekerjaan ini bergelumang bau sampah yang busuk, namun saya teruskan juga bagi menyara kehidupan keluarga. Buat apa nak malu kerana ini kerja yang halal dan saya tidak kisah apa juga kerja ditawarkan asalkan ia memberi rezeki kepada keluarga.

“Saya bersyukur kerana masih dikurniakan badan yang sihat untuk berkerja menyara keluarga dan ketika cuti sekolah, anak saya, Putera Norsyareza,12, juga membantu saya,” katanya.




2 views0 comments