• Syaziyah Md Sharif

Ditetak Dengan Golok Dan Pedang Ketika Mencari Burung Peliharaan

Mangsa mencari burung murainya yang hilang sebelum diserang oleh sekumpulan lelaki

Gambar Hiasan

Putus ibu jari kanan selain luka terbelah di kepala, betis kanan dan lutut kiri akibat ditetak tiga lelaki dengan golok dan pedang.


Itu adalah kecedraan melampau yang dialami oleh lelaki berusia 42 tahun ketika mencari burung murai cerek miliknya yang dicuri, dalam kejadian di Kampung Pauh Jabit, Tawang, Kelantan.


Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintenden Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, mangsa pergi ke belakang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Long Yunus untuk mencari pemuda bernama Farid yang disyaki mencuri burungnya.


“Lokasi tersebut merupakan rumah rakan Farid yang bernama Jiji, namun Farid tiada di situ menyebabkan mangsa bertindak menggari Jiji untuk dijadikan tebusan. Ekoran itu, dia diserang tiga suspek dengan golok dan pedang sehingga cedera.


“Mangsa rebah di lokasi dan dihantar ke Klinik Kesihatan Beris Kubur Besar sebelum dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.


Kata Mohamad Ismail, susulan kejadian tersebut, polis sedang giat memburu tiga suspek yang dikenali sebagai Jiji, Jimi serta seorang lagi rakan mereka bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.


0 views0 comments