• Jonathan Shiek

Cat Paling Putih Bakal Gantikan Pengahawa Dingin

Pasukan saintis Universiti Purdue di negeri Indiana, Amerika Syarikat (AS) mendakwa bahawa mereka berjaya mencipta cat paling putih dan sejuk pernah dihasilkan di dunia.

Bangunan dicat warna putih sudah lama disebut sebagai salah satu alternatif untuk menyelesaikan masalah bahang dan kepanasan.

Namun begitu, cat warna putih sedia ada di pasaran hanya memantulkan 80 hingga 90 peratus cahaya matahari dan tidak menyejukkan bumbung bangunan lebih renda daripada suhu udara, lapor akhbar The Guardian.

Penciptaan cat paling putih di dunia ini dikatakan mampu mengubah keadaan itu dan membantu menyejukkan udara bangunan yang dicat.

“Cat kami dapat membantu memerangi pemanasan global dengan membantu menyejukkan Bumi yang merupakan faktor paling menarik tentangnya.

“Menghasilkan cat putih paling putih bermaksud cat dapat memantulkan jumlah maksimum cahaya matahari kembali ke angkasa,” kata Profesor Universiti Purdue, Xiulin Ruan kepada The Guardian.

Cat putih itu yang diperkenalkan baru-baru ini dapat memantulkan cahaya matahari sehingga 98.1 peratus dan menyejukkan permukaan dinding sebanyak 4.5 darjah Celsius.

Bahasa mudahnya, ia dapat menggantikan pengunaan penghawa dingin.

“Sekiranya anda menggunakan cat ini untuk menutupi bumbung seluas kira-kira 304 meter persegi, kami menganggarkan anda dapat memperoleh tenaga penyejukan 10 kilowatt.

“Itu adalah kuasa penyejukan yang lebih kuat daripada pendingin hawa berpusat yang digunakan oleh kebanyakan rumah, “kata Xiulin dalam siaran akhbar Universiti Purdue.

Pasukan penyelidik telah mengemukakan paten untuk cat tersebut dan berharap ia akan berada di pasaran dalam masa dua tahun akan datang.

Sumber: The Guardian 

0 views0 comments