• Jonathan Shiek

“Biar Saya Uruskan Skuad Kebangsaan” – TMJ

Apa yang berlaku sewaktu di kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Emiriah Arab Bersatu (UAE) tidak dinafikan membimbangkan peminat bola sepak tempatan.

Malah prestasi hambar Harimau Malaya itu turut mendapat perhatian pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Peka dengan isu tersebut Tengku Makhota Johor (TM) menerusi beberapa perkongsian di IG Storynya menawarkan diri untuk menguruskan skuad kebangsaan dalam saingan antarabangsa selepas ini.

Tawaran Tunku Ismail itu susulan kekalahan demi kekalahan yang dialami oleh skuad kendalian Tan Cheng Hoe dalam empat aksi antarabangsa dilalui setakat ini.

Daripada empat aksi itu, Malaysia tewas dua kali dalam aksi persahabatan di tangan Kuwait dan Bahrain dengan keputusan 1-4 dan 0-2.

Prestasi longlai itu berterusan dalam dua aksi kelayakan apabila tumbang 0-4 kepada UAE sebelum kalah 0-2 dengan Vietnam pada Jumaat lalu.

Ujar Tunku Ismail lagi, terdapat beberapa faktor yang mungkin menyebabkan kemerosotan mendadak pasukan meskipun skuad kali ini dilabel antara yang terbaik ekoran kehadiran tiga tonggak naturalisasi iaitu Guilherme de Paula, Liridon Krasniqi dan Mohamadou Sumareh.

Malah, kekuatan skuad Harimau Malaya di atas kertas semakin ampuh apabila pertahanan kacukan Belgium-Malaysia, Dion Cools diumumkan sebagai pemain ke-26 pasukan.

Katanya, beliau akan melakukan perkara sama yang dilaksanakan di JDT sekiranya diberi tanggungjawab untuk menguruskan pasukan negara.

#harimaumalaya #tmj

0 views0 comments