• Jonathan Shiek

Berang Bekas Suami Tak Mampu Bayar Harta Sepencarian, Wanita Robohkan Rumah Milik Isteri Kedua

Perceraian ternyata suatu perkara yang sering mengakibatkan persengketaan, tapi kes ini ekstrem.

Sepasang suami isteri di Indonesia yang gagal jumpa jalan penyele­saian, bercerai tetapi sengketa antara mereka semakin buruk apabila kedua-duanya berbalah tentang harta sepencarian.

Kusnan, 50, dikatakan tidak mampu membayar harta sepencarian berjumlah 30 juta rupiah (RM8,569) seperti dituntut bekas isterinya.

Mengamuk, wanita itu mengupah beberapa lelaki untuk merobohkan rumah bekas suaminya yang terletak di mukim Trowulan dalam wilayah Jawa Timur baru-baru ini, lapor portal berita Suara.com.

Nak dijadikan sinetron, rumah yang dirobohkan pada Ahad lalu itu rupanya didiami oleh Kusnan bersama isteri baharu dan dua anaknya.

Plot twist: Setuju dengan bekas isteri supaya rumah diroboh

Kusnan berkata, rumahnya dirobohkan atas persetujuan bersama dengan bekas isterinya sebagai syarat jika dia gagal melunaskan bayaran harta sepencarian tersebut.

Kusnan terpaksa bersetuju rumah itu dirobohkan kerana tidak mampu membayar jumlah yang diminta bekas isterinya.

“Saya dipanggil ke dewan perbincangan kampung bagi membincangkan tuntutan bekas isteri.

“Bagaimanapun, saya tidak mempunyai wang sebanyak itu dan bekas isteri kemudian meminta rumah itu dirobohkan sahaja,” katanya.

Tambah Kusnan, rumah tersebut sudah diwariskan kepada anak sulung hasil perkahwinan dengan bekas isterinya dan dia kesal kerana kediaman tersebut telah dirobohkan.

Akhir sekali, tidur kat mana?

Lebih menyedihkan, dia dan isteri baharunya terpaksa membina pondok kecil di sebelah tapak rumahnya yang roboh sebagai tempat tinggal.

“Saya tidur di pondok itu bersama isteri dan ia sangat sempit,” kata Kusnan.

0 views0 comments