• Syaziyah Md Sharif

Bayi Lima Bulan Dicakar Monyet Liar

Updated: Sep 29, 2021

Ahad lalu, seorang bayi berusia lima bulan dicakar oleh monyet liar. Kejadian malang itu terjadi pada jam 11.30 pagi di Taman Nusa Damai.

Ibu bayi malang itu, Siti Nur Asikin Sulaiman, 42, berkata, ketika kejadian bayi berkenaan diletakkan di atas katil di dalam bilik tidur utama rumah sementara dia berada di dapur untuk menyediakan susu.

“Tiba-tiba sahaja saya dengar Zara menjerit dan menangis. Saya terus bergegas ke bilik untuk mendapatkannya dan terkejut melihat seekor monyet liar masuk melalui tingkap bilik dan duduk di atas belakang Zara yang saiznya lebih kurang sama, sambil mencakarnya.

“Apabila cuba menghalau termasuk menggunakan batang penyapu, monyet itu seakan menarik tangan Zara dan membawanya keluar.

“Mujur ada jiran sebelah rumah membantu. Sejurus itu, saya cuba tenangkan dan dukung Zara, sebelum menyedari baju belakangnya koyak dan ada darah pada badannya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Nur Asikin berkata, ketika kejadian dua anak lelaki yang berusia 15 dan lapan tahun juga ada di rumah dan sedang menonton televisyen di ruang utama, manakala suaminya keluar bekerja.

Katanya, dia segera membawa bayinya itu ke Hospital Sultan Ismail untuk mendapatkan rawatan, manakala jiran membuat aduan secara dalam talian di laman web Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Sumber: Kosmo!

0 views0 comments