• Syaziyah Md Sharif

Bapa Kelar Anak Hanya Kerana Anaknya Menukar Saluran TV

Suspek merupakan warga emas berusia 71 tahun dan mangsa berusia 37 tahun

Gambar Hiasan

Pertengakaran bapa dan anak yang berpunca daripada menukar saluran televisyen menjadi tragedi apabila bapa tersebut mengelar anak kandungnya di rumah mereka di Bernam Jaya, Hulu Bernam, Selangor.


Tragedi tersebut membabitkan suspek yang juga warga emas berusia 71 tahun dan mangsa yang berusia 37 tahun.


Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Arsad Kamaruddin berkata, pada mulanya, pihaknya menerima laporan pada 12.55 tengah hari daripada suspek berhubung penemuan anaknya yang terbaring berlumuran darah di ruang tamu, dalam keadaan tidak sedarkan diri.


Beliau berkata, suspek sebelum itu pergi ke sebuah kedai di Taman Bernam Jaya, pada 12 tengah hari, turut memaklumkan leher anaknya luka selain darah keluar dari kepala.


"Suspek memaklumkan kepada jiran supaya menghubungi pihak polis.


"Bagaimanapun, hasil siasatan mendapati leher mangsa terdapat kesan kelar yang dalam. Ia bukan bunuh diri dan dilakukan oleh pihak ketiga.


"Suspek menyatakan pada waktu pagi hari sama, dia dan anaknya bertengkar berpunca mangsa mengubah saluran televisyen.


"Suspek kemudian menolak mangsa sehingga terkena dinding dan jatuh ke lantai. Dia kemudian mengambil pisau di dapur dan mangsa bergelut dengannya sehingga mangsa ditoreh di leher sebanyak tiga kali," katanya menerusi kenyataan, semalam.


Arsad berkata, polis berjaya merampas pisau yang digunakan lelaki itu untuk mengelar mangsa susulan serbuan pihaknya di rumah suspek, selain baju kemeja lengan pendek dan seluar pendek.


Katanya, ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif dadah selain tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.


"Suspek akan dibawa ke Mahkamah Seksyen Kuala Kubu Bharu hari ini untuk permohonan reman.


"Dengan tertangkapnya suspek, polis percaya dapat menyelesaikan kes ini. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan ," katanya.



Sumber: Harian Metro

10 views0 comments