• Jonathan Shiek

Askar Transgender Korea Selatan Pertama, Ditemui Meninggal Dunia

Seoul, Korea Selatan: Seorang askar Korea Selatan telah ditemui meninggal dunia selepas dipecat secara paksa, kerana menjalani pembedahan penukaran jantina daripada lelaki kepada wanita.

Mayat Byun Hee-soo, 20-an, ditemui oleh bomba di rumahnya di Cheongju, selatan Seoul, selepas seorang kaunselor kesihatan menghubungi perkhidmatan kecemasan.

Dia membuat laporan bahawa tidak dapat menghubungi Byun, sejak 28 Februari, lapor agensi berita Yonhap.

Polis kini menyiasat kematian mangsa.

Klinik penjagaan kesihatan mental tempatan mengatakan Byun melakukan percubaan untuk membunuh dirinya tiga bulan yang lalu.

Byun Hee-soo, bekas staf sarjan berusia 20-an, mendaftar secara sukarela untuk menjadi tentera pada 2017, sebelum menjalani pembedahan penukaran jantina di Thailand, pada 2019.

Korea Selatan ialah negara yang konservatif mengenai isu identiti seksual dan jantina serta agak kurang bertoleransi terhadap golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) berbanding beberapa negara lain di Asia.

Kebanyakan golongan gay dan transgender tidak mendedahkan identiti mereka secara terbuka.

Kementerian Pertahanan mengklasifikasikan ‘kehilangan’ alat kelamin lelaki Hee-soo itu sebagai satu kecacatan mental atau fizikal.

Panel tentera kemudian memutuskan pada awal 2020 bahawa Hee-soo akan diberhentikan secara paksa.

Sumber: Harian Metro

0 views0 comments