• Syaziyah Md Sharif

89 Orang Terkorban Akibat Wabak Misteri Di Sudan Selatan

Wabak itu masih lagi dalam kajian

Kredit Foto: Daily Express

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengerahkan pasukan petugas tindak balas pantas ke Sudan Selatan untuk menyiasat penyakit misteri yang menyebabkan sekurang-kurangnya 89 orang terkorban.


Kementerian kesihatan di Sudan Selatan telah melaporkan penyakit yang merebak dengan cepat di bandar utara Fangak, di negeri Jonglei, dan saintis tempatan masih belum dapat mengenal pasti.


Wilayah itu baru-baru ini dilanda banjir teruk dan pegawai kesihatan ditugaskan untuk mengumpul sampel bagi membantu mengenal pasti penyakit yang membawa maut itu.


Pegawai kesihatan tempatan di Fangak berkata sampel awal daripada orang sakit mengembalikan keputusan negatif untuk taun.


Sheila Baya, jurucakap WHO, bercakap kepada BBC, berkata pasukan saintis terpaksa sampai ke Fangak melalui helikopter akibat banjir dan beliau menambah bahawa kumpulan itu sedang menunggu pengangkutan untuk memulangkan mereka ke ibu negara, Juba, pada hari Rabu.


"Kami memutuskan untuk menghantar pasukan respons pantas untuk pergi dan melakukan penilaian dan penyiasatan risiko.


"Ketika itulah mereka akan dapat mengumpul sampel daripada orang yang sakit - tetapi sementara angka yang kami dapat ialah terdapat 89 kematian." katanya.


Menteri Tanah, Lam Tungwar Kueigwong, berkata banjir teruk telah meningkatkan penularan penyakit seperti malaria dan menyebabkan kekurangan zat makanan kepada kanak-kanak akibat kekurangan makanan di seluruh negeri utara.


Sudan Selatan kini berdepan dengan krisis kemanusiaan yang amat buruk selepas banjir ekstrem melanda negara itu buat tahun ketiga berturut-turut dengan lebih 700,000 penduduk dilaporkan terjejas oleh banjir terburuk dalam tempoh hampir 60 tahun itu.


Agensi-agensi kemanusiaan memberi amaran bahawa situasi itu memberi ancaman terhadap penularan wabak-wabak berkaitan air dan malaria, sekali gus membawa kepada isu kekurangan bekalan makanan serta kekurangan zat makanan.




Sumber: New York Post

8 views0 comments